Permohonan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi ke Mesir masih dibuka. Terhad hanya kemasukan ke Universiti Al Azhar sahaja sehingga 1hb Oktober 2017. Segala pertanyaan boleh terus hubungi Encik Fakrul 0197586167 , Cik Nadirah 0133023030 , Dr Ahmad 0133061313 , UmmiMM 0196206167

Tuesday 16 February 2016

MARA TAMBAH BAIK SKIM PEMBIAYAAN PELAJARAN


ALOR SETAR 13 Feb. – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menambah baik skim pembiayaan pelajaran baharu yang diperkenalkan tahun lepas dalam usaha memanfaatkan lebih ramai pelajar bumiputera yang berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa memberitahu, antara usaha berkenaan ialah mengkaji semula beberapa peraturan skim berkenaan seperti dari segi kadar faedah dan tempoh pembayaran balik pinjaman.

Katanya, kertas kerja mengenai cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk dibentangkan ke Kabinet dalam masa terdekat.

“Kita mahu lakukan perubahan tertentu antaranya seperti tempoh pembayaran semula kerana melibatkan bank tertentu. Jika terlalu pendek seperti tempoh 10 tahun dan jumlah pinjaman banyak tentu membebankan pelajar itu.

“Ia perlu diubah suai agar menarik lebih ramai pelajar memohonnya. Kertas kerja ini sudah kita bawa ke kementerian untuk dikemukakan ke Kabinet,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Penerangan UMNO Kedah di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Tahun lepas, agensi berkenaan memperkenalkan tiga skim pembiayaan pelajaran baharu bagi membantu pelajar bumiputera melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di dalam dan luar negara melalui Program Pelajar Cemerlang, Program Sarjana Muda Tempatan serta Program Lepasan Ijazah dan Profesional bagi memenuhi keperluan semasa.

Program Pelajar Cemerlang dan Program Sarjana Muda Tempatan adalah lanjutan daripada program sedia ada manakala Program Lepasan Ijazah dan Profesional pula ditawarkan dengan kerjasama Bank Rakyat dan Maybank.

Annuar menambah, pinjaman tersebut juga bersifat boleh ubah daripada pinjaman kepada tajaan bagi pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang pada akhir pengajiannya.

Mengenai dakwaan pelajar dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dikatakan berhenti belajar disebabkan masalah kewangan, Annuar berkata, pelajar terbabit perlu tampil ke UniKL untuk menyambung kembali pengajian mereka.

“Saya sudah beri arahan kepada UniKL untuk beri kelulusan automatik pinjaman kepada pelajar terbabit. Tak perlu berhenti belajar disebabkan faktor kemiskinan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Mara akan membayar wang tajaan kepada 11,186 pelajar UniKL bagi kemasukan Julai dan September 2015 sebelum akhir bulan ini.

“Saya tidak nafikan walaupun ada masalah, namun kita akan terus berikhtiar untuk membantu pelajar kita,” katanya.

Ketika ini Mara menaja lebih 75,000 pelajar di pelbagai peringkat pengajian sama ada dalam atau luar negara dan 30 peratus daripadanya merupakan penuntut universiti swasta.


No comments:

Post a Comment