Pada asasnya kedua-dua program pengajian asasi dan matrikulasi ini adalah sama, iaitu salah satu bentuk program persediaan yang dikategorikan sebagai program pengajian pra-universiti yang perlu diikuti oleh lepasan SPM yang bercadang untuk mengg ikuti pengajiannya untuk seterusnya melayakkannya memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Perlu juga di fahami, terdapat juga program persediaan program pengajian lain seperti A-Level (UK) atau A-Level(Germany), AUSMAT (Australian Matriculation), SAM (South Australian Matriculation), ADTP (American Degree Transfer Programme), IB (International Baccaraulette). Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) juga ada menawarkan program pra-universiti yang biasanya lebih dikenali dengan nama program Foundation, yang juga termasuk dalam kategori program pra-universiti seperti asasi atau matrikulasi juga.
Program asasi adalah program pengajian pra-universiti yang ditawarkan di universiti-universiti awam, manakala program matrikulasi ditawarkan di Kolej Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia
Dari segi tempoh pengajian juga tidak banyak perbezaan, yang mana pada asasnya ia mengambil masa 1 – 2 tahun bergantung kepada pencapaian pelajar semasa memohon dan juga semasa mengikuti pengajian. Contohnya terdapat program matrikulasi 2 tahun (atau yang disebut sebagai PDT) yang dibezakan berdasrkan pencapaian mereka di peringkat SPM dan juga pencapaian mereka di dalam pengajian matrikulasi itu sendiri, bilamana jika mereka gagal mencapai tahap tertentu, pelajar yang masih berpotensi akan ditawarkan untuk melanjutkan tempoh pengajian sehingga 2 tahun daripada tempoh asal 1 tahun. Begitu juga program asasi seperti di UIAM yang pada asasnya adalah pengajian 1 tahun, namun jika pelajar gagal mencapai tahap yang diperlukan, mereka mungkin perlu melanjutkannya sehingga 1½ atau 2 tahun.
Apa yang membezakan antara program asasi dan matrikuasi ini sebenarnya bukanlah perbezaan antara program asasi dan matrikulasi, tetapibolehlah dibahagikan kepada 2 kategori
- Program terbuka; Dan
- Program khusus
Program terbuka adalah merangkumi program matrikulasi yang mana lepasan daripada program matrikulasi yang lulus dengan memenuhi syarat yang ditetapkan akan layak memohon untuk kemasukan ke hampir semua program ijazah sarjana muda yang ditawarkan semua di universiti-univesiti awam. Kelayakan matrikulasi juga boleh digunakan untuk memohon melanjutkan pengajian di kebanyakkan IPTS dan juga diiktiraf oleh beberapa buah universiti luar negara.
Di dalam kategori program terbuka ini juga termasuklah program-program asasi yang mana lepasan daripada program asasi ini yang lulus dengan memenuhi syarat layak untuk memohon ke program ijazah sarjana muda di hampir semua universiti awam dan IPTS seperti program matrikulasi. Program-program asasi ini adalah program Asasi Sains Hayat dan Asasi Sains Fizikal yang ditawarkan di Universiti Malaya (UM) dan program-program asasi yang ditawarkan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Satu lagi kategori adalah program asasi yang khusus – yang merangkumi semua program-program asasi lain yang ditawarkan di universiti-universiti awam lain. Lepasan daripada program ini yang lulus dengan memenuhi syarat hanya akan terhad untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti yang sama sahaja. Ianya adalh proram asasi yang ditawarkan di UIAM, USIM, UPM, UUM, UNIMAS, UMS dan terbaharu di UNISZA yang akan memulakan pengambilan pertama pada tahun 2016.
Di dalam membuat pilihan ke program pengajian pra-universiti untuk lepaasn SPM; Apa yang penting untuk setiap lepasan SPM tahu di dalam membuat pilihan yang betul adalah
- Paling penting sekali adalah pelajar sendir mesti mempunyai cita-cita kerjaya untuk dicapai.
- Ini untuk membolehkan pelajar tahu apakah syarat kelayakan yang diperlukan untuk mengisi jawatan yang pelajar cita-citakan itu
- Kenalpasti IPT yang ada menawarkan program pengajian yang menganugerahkan kelayakan tersebut – ijazah, diploma ataupun sijil
- Semak apakah syarat kemasukan ke program pengajian tersebut.
- Jika untuk program ijazah sarjana muda semak apakah laluan kemasukan ke program tersebut samada ianya asasi, matrikulasi, ataupun STPM.
- Ada program ijazah sarjana muda seperti yang ditawarkan di UIAM yang hanya menerima pelajar lepasan asasi UIAM sahaja seperti juga beberapa program ijazah sarjana muda di USIM.
- Malah ada beberapa program ijazah sarjana muda yang hanya menerima lepasan STPM sebagai syarat kemasukan ke program berkenaan.
Buat pilihan yang tepat berdasarkan sasaran untuk ke pengajian di peringkat ijazah sarjana muda
Walaupun mungkin boleh disimpulkan bahawa pengajian matrikulasi, asasi di UM dan UiTM ada kelebihan yang melayakkan lepasannya yang lulus dengan memenuhi syarat untuk memohon ke mana-mana universiti; pengajian di dalam program asasi yang mengkhusus hanya untuk melanjutkan pengajian di universiti yang sama pun ada kelebihan tersendiri
Contohnya program Asasi Sains Pertanian UPM yang menawarkan pilihan sehingga 39 program ijazah sarjana muda di UPM untuk lepasan asasi sains pertanian UPM yang lulus dengan memenuhi syarat yang ditetapkan. Walaupun pada namanya pertanian, ianya menawarkan peluang pengajian di dalam berbagai bidang yang merangkumi bidang-bidang Perubatan; Kejuruteraan; Senibina; Sains; Bioteknologi; Pertanian; Pendidikan dan lain-lain lagi.
Selain itu jika pelajar bercadang melanjutkan pengajian ke UIAM atau USIM, hampir semua program ijazah sarjana muda di kedua-dua universiti ini hanya menerima pelajar lepasan daripada program asasi atau tamhidi(USIM) sahaja, dan tidak menerima permohonan daripada lepasan matrikulasi, asasi-asasi lain ataupun STPM.
Apa yang penting bukanlah untuk membanding atau membezakan antara kedua-dua program asasi atau matrikulasi, tetapi untuk memastikan pelajar membuat pilihan yang betul, tidak kiralah samada ke program asasi atau matrikulasi, tetapi dengan matlamat untuk ke program ijazah sarjana muda dalam bidang yang ingin diikuti untuk memenuhi syarat kelayakan mengisi jawatan dalam cita-cita kerjaya pelajar sendiri; sebab itulah paling penting pelajar mesti ada cita-cita kerjaya untuk dicapai.
Artikel diambil daripada: http://halatuju.com/kaunselor/antara-asasi-matrikulasi/
No comments:
Post a Comment