Permohonan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi ke Mesir masih dibuka. Terhad hanya kemasukan ke Universiti Al Azhar sahaja sehingga 1hb Oktober 2017. Segala pertanyaan boleh terus hubungi Encik Fakrul 0197586167 , Cik Nadirah 0133023030 , Dr Ahmad 0133061313 , UmmiMM 0196206167

Wednesday 18 September 2013

KENYATAAN MEDIA KPM MENGENAI URUSAN PINDAH KREDIT

Assalamualaikum wbth

Sila ambil maklum kenyataan media dibawah. Ini selari denga taklimat-taklimat yang telah diadakan oleh MedicMesir. Pelajar-pelajar yang layak dan berhajat mendapatkan penempatan di Malaysia diseru untuk mengambil kesempatan ON OFF ini.

Saalam,
UmmiMM
----------------------------------------------------------

KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
MENGENAI PENGURUSAN RISIKO BAGI PELAJAR MALAYSIA DI MESIR 
DALAM BIDANG PERUBATAN, PERGIGIAN, 
FARMASI DAN PENGAJIAN ISLAM

18 SEPTEMBER 2013


1. Kemelut politik yang melanda negara Mesir sejak akhir bulan Jun 2013 hingga kini telah mencetuskan keadaan yang tidak stabil sehingga mewujudkan ketidaktentuan dalam pelbagai aspek. Memandangkan Mesir merupakan salah satu destinasi utama bagi pelajar Malaysia melanjutkan pengajian ke luar negara, maka kemelut ini telah menimbulkan kebimbangan terhadap ibu bapa dan para pelajar daripada aspek keselamatan. 

2. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan evakuasi pelajar secara sukarela mulai 21 Ogos 2013 dan membawa pulang seramai 2,791 orang. Selebihnya telah pulang bercuti di Malaysia sebelum Ops Piramid 2 dijalankan. Masih terdapat seramai 583 orang yang tidak pulang atas sebab-sebab tertentu seperti akademik dan peribadi.

3. Berdasarkan tinjauan lapangan ke Mesir oleh pasukan khas yang diketuai oleh YB Menteri Pendidikan II pada 24 hingga 26 Ogos 2013, pergolakan di Mesir akan berlarutan dan tidak akan berakhir dalam jangka masa terdekat. Sehubungan itu, Kerajaan telah mengambil beberapa tindakan bagi memberi alternatif kepada pelajar-pelajar yang ingin menyambung pengajian di IPT di Malaysia. 

4. Susulan daripada pertemuan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan para ibu bapa dan pelajar-pelajar pada 12 September 2013, Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 18 September 2013 telah mengambil keputusan untuk membenarkan pelajar-pelajar Malaysia dari universiti di Mesir yang memilih untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi dibolehkan melaksanakan pemindahan kredit berdasarkan prinsip “parallel” (“minus one rule”) berdasarkan tahun pengajian secara” “one-off”. Penempatan pelajar-pelajar di IPT di Malaysia tidak melibatkan pelajar-pelajar yang sedang mengikuti program klinikal bagi bidang perubatan dan pergigian.

5. Bagi pemindahan kredit bidang Pengajian Islam pula adalah mengikut syarat yang ditetapkan oleh Malaysian Quality Assurance. 

6. Bagi melicinkan pengurusan pengajian pelajar yang akan meneruskan pengajian di IPT di Malaysia, maka satu jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Pengurusan Pengajian Pelajar Malaysia di Mesir telah ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada Majlis Perubatan Malaysia, Majlis Pergigian Malaysia, Lembaga Farmasi Malaysia dan agensi penaja Kerajaan Persekutuan serta Negeri. Jawatankuasa ini berfungsi bagi merancang, menyelaras dan mengurus hal-hal berkaitan dengan pengurusan pengajian dan pemindahan kredit berdasarkan prinsip “parallel” (“minus one rule”) seperti dinyatakan di atas.
7. Semua pelajar Malaysia di Mesir yang berminat bagi meneruskan pengajian di IPT di Malaysia adalah dipohon untuk berdaftar dengan Jawatankuasa Pengurusan Pengajian Pelajar Malaysia di Mesir di Sektor Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, No. 2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, Wilayah Persekutuan Putrajaya bermula 24 September 2013 sehingga 8 Oktober 2013 atau melalui laman web Kementerian Pendidikan Malaysia seperti berikut:
(http://www.moe.gov.my/)

8. Bagi tujuan ini para pelajar juga dipohon untuk membawa bersama-sama sijil-sijil akademik dan salinan keputusan peperiksaan.

9. Pihak Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia menyediakan alternatif kepada pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di IPT di Malaysia tetapi tidak menghalang pelajar-pelajar yang memilih untuk melanjutkan pengajian mereka ke Mesir.

10. Bagi sebarang pertanyaan, para pelajar boleh menghubungi Bilik Operasi KPM di talian 03-8870 6611 dan 03-8870 6627 dari jam 8.00 pagi sehingga 6.00 petang (Isnin hingga Jumaat). Pertanyaan juga boleh melalui e-mel : egyptcrisis@mohe.gov.my, atau facebook: https://www.facebook.com/pages/StudentWorld/207845832591425. 

Kementerian Pendidikan Malaysia
18 September 2013

No comments:

Post a Comment