PUTRAJAYA: Doktor pelatih daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini bebas untuk melakukan latihan perubatan di mana-mana hospital yang diingini bermula awal tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata kebebasan itu dapat memberi keselesaan dan kepuasan kepada bakal doktor supaya prestasi kerja mereka ditingkatkan.
"Namun permohonan mereka tidak dijamin akan terus diluluskan dan ia bergantung kepada kekosongan di sesebuah hospital," katanya kepada media selepas memberi ucapan perasmian Majlis Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) 2015 di sini, hari ini.
Katanya, jika tiada kekosongan di hospital yang dipohon, tempoh waktu menunggu akan diberitahu dan doktor pelatih boleh memilih hospital lain yang mereka minati.
"Namun saya percaya mereka tidak akan terlalu memilih tempat penempatan latihan mereka kerana mereka tentunya mahu mendapatkan kelulusan sebagai pegawai perubatan dengan segera," katanya.
katanya, buat masa ini KKM mempunyai doktor pelatih seramai 10,000 orang dalam satu-satu masa dan mereka selalunya akan mengambil masa selama dua tahun untuk menamatkan latihan mereka.
Dr Hilmi berkata, jika kaedah kebebasan memilih hospital kepada doktor pelatih itu berjaya, kementerian turut merancang untuk memperluaskan sistem berkenaan kepada pegawai perubatan.
- BERNAMA
Credit to : http://www.bharian.com.my/node/33384
No comments:
Post a Comment