Permohonan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi ke Mesir masih dibuka. Terhad hanya kemasukan ke Universiti Al Azhar sahaja sehingga 1hb Oktober 2017. Segala pertanyaan boleh terus hubungi Encik Fakrul 0197586167 , Cik Nadirah 0133023030 , Dr Ahmad 0133061313 , UmmiMM 0196206167

Thursday, 20 March 2014

SPM: Anak penjual mi pelajar terbaik seluruh negara

SUNGAI PETANI 27 Feb. - Anak penjual mi, Ong Jin Hock, 17, yang muncul sebagai pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia 2000 (SPM) seluruh negara dengan memperoleh 12 A1 telah menampakkan kepintaran sejak berusia dua tahun kerana pandai mengeja huruf.

Bapa Ong, Teh Poh Geik, 49, dan isterinya, Ong Ai Loon, 49, yang menitiskan air mata gembira sebaik sahaja mengetahui kejayaan anak tunggal mereka berkata:

``Kami rasa begitu terkejut dengan kejayaan cemerlang anak tunggal kami itu apabila diberitahu lewat petang semalam.''


Poh Geik dan Ai Loon ketika ditemui di gerai mi mereka di sini hari ini memberitahu, mereka berdua tidak dapat tidur semalaman kerana terlalu gembira dengan kejayaan anaknya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim (SMKI) di sini.

Poh Geik berkata, Ong memang rajin dan sentiasa mengulang kaji pelajarannya tanpa disuruh terutama ketika berada di rumah.

Apa yang dibimbangkan kini, katanya, mereka menghadapi masalah kewangan untuk membolehkan Ong melanjutkan pelajaran.

``Bagaimana saya boleh membiayai pelajaran tingginya dengan hanya berpendapatan RM800 sebulan sebagai penjual mi?'' kata Poh Geik.

Suami isteri itu berharap ada pihak-pihak tertentu termasuk kerajaan sendiri dapat membantu anak mereka mendapatkan pinjaman atau biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan memenuhi cita-cita anak mereka.

Ong mencatatkan keputusan 12 1A bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Pendidikan Seni, Perdagangan, Prinsip Akaun, Fizik, Kimia dan Biologi.

Hari ini, seluruh warga SMKI termasuk guru-guru, pegawai-pegawai daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ong kerana keputusan cemerlang yang dicapai.

Ong berkata, kejayaannya itu merupakan satu ``perkongsian bersama'' dengan pihak sekolah, guru-guru, ibu bapa dan seluruh pelajar SMKI.

Katanya, dari sejak awal lagi dia berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM sebagai memenuhi hasrat ibu bapa dan dirinya sendiri.

Menurut Ong, rahsia kejayaannya ialah dengan memahami sebenarnya apa yang diajar oleh guru di sekolah dan mengulang kaji di rumah pada waktu petang atau malam.

``Sebenarnya saya suka membaca pelbagai jenis buku bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolahnya, hari ini.

Katanya, selain itu dia banyak mendapat bimbingan dan dorongan daripada rakan-rakan sebayanya termasuk keluarganya bagi memastikan mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM itu.

``Saya juga rajin pergi ke perpustakaan untuk membaca pelbagai jenis buku yang boleh menambah dan meningkatkan pelajaran di samping membuat catatan mengenai pelajaran yang diperoleh di sekolah," ujarnya.

Ong banyak memegang pelbagai jawatan di sekolah, antaranya pengawas sekolah dan St. John Ambulans di samping mengetuai Persatuan Bahasa Inggeris.

Dia juga aktif dalam bidang sukan termasuk bola jaring dan pernah mewakili sekolah.

Ditanya mengenai cita-citanya, Ong berkata, kalau boleh dia akan melanjutkan pelajarannya dalam bidang sains komputer.

Sementara itu Penolong Pengetua SMKI, Sudin Said berkata, Ong memang seorang pelajar yang pintar dan cerdas serta tahu tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar.

Katanya, Ong juga merupakan seorang pelajar yang berdisiplin dan suka melakukan kerja-kerja amal untuk sekolahnya.

Oleh: FUADY YUSOF
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment