Oleh Johardy Ibrahim (Utusan)
KAHERAH 7 Feb. – Buat pertama kali dalam sejarah penubuhannya, Dewan Malaysia di Abbasiah yang menjadi pusat penempatan pelajar di sini, menutup operasinya bermula semalam, berikutan pemindahan sejumlah besar pelajar Malaysia dari Mesir ekoran pergolakan dalam negara ini.
Semalam, kumpulan terakhir pelajar yang menginap di situ iaitu seramai 480 orang telah menyertai penerbangan khas kerajaan Malaysia dari lapangan terbang Kaherah ke Jeddah di Arab Saudi.
Warden Dewan Malaysia Abbasiah, Harun Mohd. Zain berkata, pusat transit tersebut secara rasminya ditutup sehingga pelajar Malaysia dibenarkan kembali ke Mesir.
Menurutnya, Dewan Malaysia itu memiliki kapasiti untuk 340 orang iaitu 236 bilik lelaki dan 104 wanita, pada asalnya dianugerah oleh kerajaan Mesir pada 1960-an sebagai penghargaan atas bantuan pelajar Malaysia semasa perang Mesir-Israel.
Sejak itu katanya, pusat itu telah menjadi pusat transit atau penginapan bagi pelajar Malaysia yang menuntut di universiti-universiti di sekitar Kaherah, terutamanya Universiti Al-Azhar dan pada 2004, ia telah melalui proses penambahan bangunan merangkumi asrama, surau dan dewan makan.
‘‘Inilah pertama kali Dewan Malaysia Abbasiah ditutup operasinya,” kata Harun yang merupakan pegawai di Kementerian Pendidikan Tinggi dan telah bertugas di sini sejak dua tahun lalu kepada wartawan Malaysia semalam.
Katanya, sejumlah 2,120 pelajar telah diuruskan pemindahan keluar mereka dari Dewan Malaysia Abbasiah dalam misi yang secara rasminya ditamatkan di sini semalam.
Bagaimanapun, ujarnya, terdapat 10 pelajar Malaysia yang meminta kebenaran khas untuk tinggal di situ kerana tidak menyertai operasi pemindahan pelajar.
‘‘Mereka ini dijadualkan menduduki peperiksaan pada minggu depan dan jika pulang ke Malaysia sekarang, ia akan memaksa mereka terpaksa menambah setahun lagi pengajian mereka,” jelasnya.
Harun berkata, dalam konteks pelajar tersebut, mereka diberi kebenaran tinggal tetapi urusan makan dan minum ditanggung sendiri kerana kafetaria Dewan Malaysia pun ditutup operasi.
‘‘Apa yang penting, mereka dalam kawasan yang dilindungi kerana Dewan Malaysia mempunyai kawalan keselamatan. Saya pun tetap di sini kerana tiada arahan menyuruh saya pulang,” katanya.
Beliau berkata, dari mula kejadian tunjuk perasaan di Mesir, pihaknya telah dihujani dengan panggilan telefon daripada keluarga pelajar di Malaysia.
‘‘Saya nyatakan keadaan di Abbasiah adalah selamat dan pelajar di sini terkawal keselamatan mereka. Ada keluarga yang tidak percaya, menganggap saya sekadar hendak menyedapkan hati mereka.
‘‘Sebenarnya ketegangan tertumpu di Dataran Tahrir dan terdapat sebilangan pelajar Malaysia dalam jurusan perubatan tinggal di sekitar kawasan itu. Mereka menjadi keutamaan awal yang kami pindahkan ke sini.
‘‘Sebaliknya, kawasan-kawasan lain tidak seteruk yang dilaporkan. Malah ada pelajar yang tidak tahu pun kemelut yang berlaku kerana kawasan tinggal mereka tidak bergolak tetapi kita sudah laksanakan misi pemindahan ini dengan sempurna dengan kerjasama semua pihak termasuk badan perwakilan pelajar Malaysia yang bertungkus-lumus siang dan malam,” katanya. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment