Monday, 13 November 2017

MARA longgar syarat biasiswa



PUTRAJAYA, 30 Oktober – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melonggarkan syarat pemberian biasiswa kepada pelajar luar bandar dan golongan B40 bermula tahun depan bagi meningkatkan akses terhadap pendidikan tinggi kepada golongan itu.



Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menerusi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) ketika ini, syarat untuk pemberian biasiswa kepada pelajar sudah ditetapkan yang mana mereka perlu mendapat sekurang-kurangnya lima kredit dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk ditawarkan penajaan sepenuhnya di KPTM.

“Tetapi bermula tahun depan, kita akan longgarkan syarat mungkin kepada empat kredit istimewa untuk pelajar luar bandar, serta mereka yang mempunyai ibu bapa yang tergolong dalam golongan B40.

“Ini akan memberi peluang lebih ramai mereka yang di luar bandar seperti di kawasan pedalaman termasuk Ulu Tembeling, Pahang, serta Sabah dan Sarawak yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti di KPTM.

“Ketika ini, kira-kira 40 peratus pelajar di KPTM mendapat tajaan sepenuhnya oleh kerajaan menerusi MARA,” katanya pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen KPTM kali ke-34 dan Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Seramai 5,585 graduan KPTM dan KUPTM menerima ijazah, diploma dan sijil profesional masing-masing pada majlis yang berlangsung sejak Sabtu lalu hingga hari ini.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis berkenaan beliau berkata sejak KPTM ditubuhkan dari 2003 hingga hari ini dan KUPTM yang ditubuhkan pada 2015, seramai 55,000 pelajar dihasilkan dengan kadar kebolehpasaran yang tinggi iaitu 72 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian masing-masing.

Katanya, pelbagai kejayaan berjaya diraih KPTM atas pencapaian cemerlangnya termasuk di peringkat antarabangsa dan dunia seperti The Two Thousand Fifteen European Society for Quality Researh Award, mendapat Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) Approved Learning Partner Gold Status dari ACCA United Kingdom dan memenangi kategori World Business Leader Award dalam The BIZZ 2014 Awards dari The World Confederation of Business.

“Kehadiran KPTM dan KUPTM dalam kalangan institusi pendidikan tinggi negara amat signifikan khususnya dalam meningkatkan status sosio ekonomi Bumiputera seperti dihasratkan kerajaan.

“Program agenda membangunkan anak bangsa akan diteruskan oleh kerajaan kerana bagi kita, pendidikan akan mengubah nasib seseorang, keluarga, kaum dan negara.

“Mereka yang tertinggal dalam pendidikan akan terus tertinggal. Jadi peruntukan terbesar dalam sejarah MARA yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam bajet 2018 iaitu RM2.5 bilion, untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA.

“Ini memberi peluang kepada MARA untuk menaja lebih ramai pelajar ke peringkat pengajian lebih tinggi seperti Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sama ada dalam atau luar negara.

“Jadi rebutlah peluang yang ada kerana agenda memartabatkan bangsa melalui pendidikan akan terus menjadi komitmen kerajaan dan kita akan terus membela dan mengangkat martabat Melayu dan Bumiputera melalui pendidikan,” katanya.

Sumber BHONLINE

No comments:

Post a Comment