Friday, 3 March 2017

Calon buta, anak buruh antara yang cemerlang STPM di Pulau Pinang




GEORGETOWN: Cacat penglihatan bukan penghalang bagi Chew Sui Teng meraih keputusan cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan, hari ini.

Sui Teng, 21, pelajar Sekolah Menengah Perempuan St George di sini, yang meraih keputusan cemerlang dalam subjek Pengajian Am, Ekonomi, Sejarah dan Pengurusan Perniagaan, berkata dia tidak pernah berputus asa walaupun menyedari kekurangan diri. 


"Saya sangat bersyukur dan gembira dengan keputusan ini, akhirnya usaha bersungguh-sungguh untuk mempelajari sesuatu subjek membuahkan hasil. Tidak seperti pelajar lain, saya menghadapi kesukaran membaca dan menggunakan sistem Braille untuk belajar. 

"Malah ketika peperiksaan saya menggunakan alat itu bagi memudahkan saya menjawab kertas peperiksaan," katanya ketika ditemui BH di Sekolah Menengah Perempuan St George, dekat sini, hari ini. 

Anak bongsu dari dua beradik itu mendakwa mula masalah rabun ketika usia mencecah lapan tahun sebelum tidak dapat melihat sepenuhnya selepas itu. 

"Saya mengulang kaji pelajaran di rumah hanya dengan menggunakan komputer dan mengambil masa yang agak lama untuk mengendalikan komputer. Tetapi saya bersyukur kerja keras selama ini membuahkan hasil," katanya yang bercita-cita menjadi guru pendidikan khas.

Sementara, Ng Lee Ping, 20 dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Bukit Mertajam, mendakwa kesusahan bapanya mencari rezeki sebagai buruh binaan mendorongnya belajar bersungguh-sungguh bagi mengejar keputusan cemerlang dengan PNGK 4.00. 

Lee Ping berkata, hatinya luluh setiap kali melihat bapanya, Ng Tiang Keat, 53, bekerja tidak tentu masa dan sering mengalami kecederaan di tempat kerja demi menyara mereka sekeluarga. 

"Setiap kali ayah balik dari tempat kerja, hati saya sayu melihat betapa gigihnya dia bekerja untuk mencari wang bagi menyara kami. Saya tidak ke kelas tuisyen kerana tidak mampu membayar yuran dan hanya memberikan tumpuan 100 peratus ketika pembelajaran di sekolah. 

"Keputusan ini adalah hadiah untuk ibu bapa yang meletakkan harapan tinggi kepada saya untuk mengubah nasib keluarga selepas abang sulung tidak dapat menyambung pengajian kerana kesempitan hidup," katanya.

No comments:

Post a Comment