Monday, 27 February 2017

3 syarat jadi doktor beretika, profesional



Beberapa hari lalu, kita didedahkan dengan maklumat salah laku pengamal perubatan yang juga dikenali sebagai doktor. Pendedahan ini mungkin tidak menggembirakan sesetengah pihak sama ada dalam kalangan yang terbabit dan juga keluarga mereka. Kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengenai sektor perubatan mencatatkan kadar kehilangan kerja tertinggi di negara ini juga mengejutkan pelbagai pihak. 



Mereka adalah doktor atau kakitangan perubatan yang terpaksa dibuang oleh Kementerian Kesihatan kerana tidak hadir bertugas. Kita juga membaca berita beberapa doktor ditahan di Pulau Pinang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menyalahgunakan profesion mereka, dengan meluluskan permohonan pemeriksaan perubatan untuk memperbaharui Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), tanpa perlu melakukan pemeriksaan terhadap pemohon. 


Mari kita telusuri apakah isu sebenar di sebalik laporan awal ini yang boleh mencemarkan imej kerjaya dan kredibiliti seorang doktor. Mungkin kita cuba mengungkap beberapa persoalan asas antaranya, adakah ini kualiti sebenar doktor yang dihasilkan oleh universiti luar mahupun tempatan.

Mereka ini pada dasarnya adalah segelintir daripada kelompok besar komuniti daripada puluhan ribu doktor perubatan yang mendaftar dengan pihak Majlis Perubatan Malaysia (MPM). Setiap doktor diwajib memperoleh sijil amalan perubatan sah dan mematuhi syarat itu untuk menawarkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan di Malaysia berdasarkan Akta Perubatan 1971. Mari kita telusuri apakah isu sebenar di sebalik laporan awal ini yang boleh mencemarkan imej kerjaya dan kredibiliti seorang doktor. Mungkin kita cuba mengungkap beberapa persoalan asas antaranya, adakah ini kualiti sebenar doktor yang dihasilkan oleh universiti luar mahupun tempatan. 

Mereka adalah golongan profesional yang diharapkan menyumbang tenaga untuk merawat pesakit dan menyelesaikan pelbagai masalah penyakit dalam masyarakat. Atau mungkin kita perlu memastikan fakta jumlah sebenar mereka yang terbabit dengan salah laku dan isu disiplin itu. 


Mungkin segelintir kecil sahaja yang terbabit dan ini tidak menggambarkan karakter sebenar doktor. Kita boleh melihat masalah ini seperti bila ada 'produk' tidak sempurna yang dihasilkan oleh 'kilang' yang mungkin tidak mematuhi prosedur tertentu oleh pengendali kilang yang tidak mahir. Perlu ada pemeriksaan kualiti pada setiap tahap untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi. 


Masalah ini juga boleh dikaitkan bila ada bahan awal pembuatan produk yang tidak bersesuaian dengan syarat akhir produk. Ditambah sistem kawalan penghasilan akhir produk yang longgar, akan menambah jumlah isu kualiti lemah dalam sesuatu masyarakat. Ini perlu dihalusi oleh setiap pihak yang terbabit, termasuk ibu bapa. Jika kita mengambil sikap sambil lewa dan mempertahankan mereka yang bermasalah kerana mereka adalah doktor, akhirnya jalan penyelesaian yang ampuh tidak akan ditemui. 


Lambakan graduan 


Isu lambakan graduan perubatan bukan lagi perkara asing di negara kita bila pertambahan jumlah program perubatan yang tidak selari dengan jumlah penempatan latihan doktor di hospital kerajaan. Isu ini dibangkitkan oleh beberapa pihak lebih lima tahun lalu supaya pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya. 


Pengambilan pelajar perubatan dengan jumlah yang besar di sesetengah universiti sedangkan tenaga pengajar juga terhad, sedikit sebanyak menyumbang kepada isu kualiti dan kompetensi doktor pada hari ini. Dalam mana-mana program perubatan ketika di universiti, tiga aspek latihan ditekankan untuk setiap doktor, iaitu aspek pengetahuan, kemahiran klinikal dan sikap. Ketiga-tiga aspek ini digabungkan untuk melahirkan seorang doktor profesional dalam menjalankan tugas mereka kelak. 


Etika dan tatacara kerja dalam bidang perubatan dan kesihatan dipandu secara terperinci oleh sumpah Hipokrates dan etika Pengamal Perubatan Muslim. Tujuan etika ini untuk memberi panduan supaya mereka mematuhinya ketika berurusan dengan pesakit, keluarga, rakan sekerja dan masyarakat.


Kandungan utama sumpah Hipokrates ini antara lain kesediaan membantu pesakit sebaik mungkin dengan penilaian ilmu dan kaedah perubatan terbaik, dan pesakit tidak disalah urus ketika mendapat rawatan. Etika pengamal perubatan Muslim pula sangat menitikberatkan hubungan doktor dengan Tuhannya, perwatakan yang mulia doktor, menjaga hubungan baik sesama doktor dan pesakit. Pesakit juga wajar diberi perhatian dalam setiap keadaan untuk sembuh. 


Perkhidmatan diberikan juga tanpa membezakan keturunan, bangsa dan agama. Mereka juga semestinya tiada kepentingan peribadi bila berurusan dengan pesakit. Ketidakpatuhan pada etika dan ada unsur manfaat peribadi wajar dielakkan. Mereka bertanggungjawab memelihara imej dan profesionalisme kerjaya mulia ini setiap masa. Penulis sendiri sebagai doktor sangat yakin apabila isu pematuhan etika ini dihalusi sepanjang masa dan di tempat kerja, maka tidak timbul laporan seperti dicanangkan beberapa hari lalu. 


Aspek etika dan profesionalisme ini perlu ditekankan ketika pelajar di universiti, latihan klinikal di klinik serta hospital dan juga sebelum mereka memulakan tugasan rasmi sebagai doktor pelatih. Semua pihak berwajib perlu melihat semula pelaksanaan program perubatan dan status kepatuhan etika ini setiap masa. Masyarakat masih menyanjung tinggi profesion ini kerana pembabitan doktor dan kakitangan perubatan sangat bermakna dalam mempertahankan landskap kesihatan yang baik di negara kita.


 Penulis adalah Pengarah Program Perubatan, Sekolah Perubatan, International Medical University dan Setiausaha Agung, Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia 


Credit to : http://www.bharian.com.my/node/251835

No comments:

Post a Comment