Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin. Taklimat MedicMesir, Zon Tengah, Dewan MedicMesir Bangi, 8 Julai , 10-12tengahari. Hubungi Cik Nadirah 0133023030. Zon Utara, Hotel Seri Malaysia Ipoh, 8 Julai , 10-12tengahari. Hubungi Dr Ahmad 0133061313. Zon Pantai Timur, Hotel Habib KB, 7 Julai, 9-11pagi . Hotel Kenangan KT, 8 Julai , 10-12tengahari. Hubungi Encik Fakrul 0197586167

Friday, 10 February 2017

Kelebihan Belajar Sains Kesihatan di Mesir



Mengambil jurusan sains kesihatan di Mesir bukan lagi satu perkara baru. Bahkan ramai yang telah tahu dan telah pun memilih jalan ini berdasarkan lambakan bilangan pelajar-pelajar Malaysia jurusan sains kesihatan di bumi Nabi Musa AS ini.

Kos yang rendah

Murah. Antara faktor utama yang mendorong kebanyakan ibubapa menghantar anak-anak mereka untuk menyambung pelajaran di sini. Disebabkan matawang Egyptian Dollar (dipanggil sebagai ‘genih’ dalam bahasa kebiasaan) mereka yang lebih kurang dua kali ganda rendah berbanding matawang Ringgit Malaysia kita, maka kebanyakan perkara di sini seperti kos sewa rumah, makanan, minuman dan lain-lain juga dikira sebagai murah bagi kebanyakan warga Malaysia.


Buku-buku rujukan bidang sains kesihatan dari serata dunia juga dijual dengan kos yang murah. Sebuah buku yang berharga ratusan ringgit di Malaysia boleh didapatkan di sini dengan harga dua kali ganda yang lebih murah. Itu belum ditukar lagi kepada matawang dalam Ringgit Malaysia. Siapa tidak terliur dengan jualan buku-buku berharga sebegini?
Ditambah lagi dengan kewujudan Pesta Buku Antarabangsa Kaherah yang menyediakan jualan-jualan buku dari berbagai-bagai negara serata dunia beserta potongan-potongan harga yang sangat menakjubkan. Pesta buku yang berlangsung pada setiap tahun dengan kapasiti sebagai pesta buku tertua dan terbesar di Benua Arab ini mendapat pengiktirafan pada tahun 2006 sebagai pesta buku kedua terbesar di dunia! Fuh, pasti anda akan bertambah-tambah seronok lagi melihatnya.
Harapan melahirkan doktor islam
Mesir. Apabila nama negara ini disebut sahaja dalam kalangan masyarakat Malaysia, pasti akan terbayang di fikiran mereka gambaran sebuah negara Islam. Dan disebabkan ini juga kebanyakan ibubapa menghantar anak-anak mereka untuk menyambung pelajaran di sini, termasuklah bagi jurusan sains kesihatan sekalipun.
Dengan kewujudan kelas-kelas talaqqi (kelas pengajian islam) yang sangat banyak dan diajar pula oleh masyaikh-masyaikh yang sangat hebat dan faqih, misi untuk melahirkan seorang pakar sains kesihatan yang islamik dan berakhlak tinggi sememangnya tidak mustahil untuk direalisasikan. Tinggal disiplin diri sahaja yang akan menentukan sama ada jalan Nabi Musa AS yang dipilih ataupun jalan Firaun sebaliknya.

Tenaga pengajar yang sangat awesome
Orang Mesir sememangnya terkenal dengan sifat mereka yang hebat menghafal. Golongan penghafal Al-Quran boleh anda temui di mana-mana hatta di pasar-pasar biasa sekalipun. Lantas disebabkan itu jugalah wujudnya tenaga-tenaga pengajar yang sangat hebat dalam bidang jurusan sains kesihatan di universiti-universiti di sekitar Mesir ini. Masuk ke kelas dengan tangan yang kosong. Tidak membawa apa-apa buku atau nota. Tetapi apabila mengajar di hadapan, setiap patah perkataan yang keluar dari mulut mereka adalah sebiji-sebiji tersusun seperti yang tertulis di dalam buku satu-persatu mengikut susunannya! Menakjubkan bukan!?
Ujian awal untuk menjadi doktor
Makanan yang murah. Kawasan pelancongan yang menarik. Kos sara hidup yang rendah. Dan bermacam-macam kelebihan lain lagi seperti ini ramai dari kalangan orang Malaysia sendiri telahpun mengetahuinya, tetapi ada sesuatu lagi yang tersembunyi di sebalik kesemua perkara ini yang tidak ramai orang perasan akan kepentingannya bagi golongan sains kesihatan di bumi Mesir ini sebenarnya. Perangai Arab.
Apabila anda berada di Mesir, satu kewajipan yang pasti anda akan lakukan di sini ialah berkomunikasi dan berinteraksi dengan warga Mesir tempatan. Dan di saat ini anda akan menemui bermacam-macam jenis perangai orang Arab Mesir yang kebanyakannya akan menguji daya kesabaran dan tindak balas anda terhadap sesuatu perkara yang berlaku ketika itu sebenarnya.
Ramai yang memandang perkara ini sebagai suatu yang buruk, dan ramai yang tidak memandangnya sebagai suatu peluang yang baik sebenarnya. Berhadapan dengan perangai Arab yang kebanyakannya menyakitkan hati boleh jadi sebagai suatu medium untuk anda melatih meningkatkan sifat bersabar dan mendidik self-motivation diri dari semasa ke semasa sebenarnya. Kerana di akhir karier anda sebagai golongan professional dalam bidang sains kesihatan nanti akan memerlukan diri anda untuk berhadapan dengan bermacam-macam jenis pesakit yang juga sebahagian dari perangai mereka tidak ubah teruknya seperti mereka di Mesir ini juga sebahagiannya.
Jangan manjakan diri anda
                  Kesimpulannya, berbagai-bagai kelebihan sudah ada tersedia bagi pelajar-pelajar jurusan sains kesihatan di bumi Mesir ini sebenarnya, tetapi apa yang diperhatikan saban tahun ialah natijah yang sama juga sebenarnya. Tiada perubahan. Umpama seorang budak yang masuk ke dalam sebuah dusun yang penuh dengan buah-buahan ranum yang enak, tetapi hanya masuk, berjalan, perhati, rasa kagum, berbangga dengan buah-buahan yang ada, dan akhirnya keluar daripada dusun tersebut dengan langsung tidak memetik apa-apa!
Kita selalu berbangga-bangga menceritakan kepada orang luar mengenai kelebihan-kelebihan yang kita ada di Mesir, tetapi realitinya kita hanya berhenti setakat berbangga! Kuliah yang ada tidak pernah dijaga kehadirannya. Kelas-kelas talaqqi di luar apatah lagi ingin menjejakkan kaki ke sana. Masa yang ada lebih digunakan hanya kepada movie dan games sahaja sepanjang masa. Kelebihan-kelebihan yang ada banyak disebut-sebutkan tadi itu satu pun langsung kita tidak manfaatkan dengan sebaik yang mungkin sebenarnya!!
Maka pesan saya kepada adik-adik baru yang baru sampai, janganlah ulangi kesilapan lama abang-abang dan kakak-kakak anda ini sampai bila-bila. Mulakan perubahannya sekarang! Gunakan betul-betul segala kelebihan yang terdapat di bumi Mesir ini sebaik-baiknya. Semoga generasi-generasi yang lahir selepas ini adalah dari kalangan yang terbaik saya doa-doakan sepanjang masa.
Jom jadi mahasiswa sains kesihatan Mesir yang terbaik!
“Kita Keluarga PERUBATAN”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“at-Taqwa, as –Syifa’, ar-Rahmah”
– Amirul Azmeer Bin Asmadi

No comments:

Post a Comment