Permohonan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi ke Mesir masih dibuka sehingga 1hb Ogos 2017. Segala pertanyaan boleh terus hubungi Encik Fakrul 0197586167 , Cik Nadirah 0133023030 , Dr Ahmad 0133061313 , UmmiMM 0196206167

Thursday, 12 May 2016

Doktor Muslim Profesional

Bila disebut doktor Muslim, nama-nama yang akan berlegar dalam kotak fikiran kita mesti wujud nama Ibnu Sina, yang merupakan pengarang kitab Qanun Fi at-Tibb, Ibnu Nafis yang juga digelar Ibnu Sina kedua, Ibnu Rusyd, Ar-Razi, Az-Zahrawi dan beberapa nama lain. Satu lagi nama agung yang mungkin kita terlepas pandang iaitu junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Perlu kita tahu, Baginda bukan sahaja seorang penyampai risalah yang dilantik oleh Sang Pencipta untuk melestarikan dunia ini dengan keindahan Islam, bahkan Baginda juga ialah seorang doktor. Nama-nama inilah yang telah mengangkatkan martabat Islam dalam bidang perubatan suatu ketika dahulu. Hal ini diakui oleh beberapa ilmuwan barat yang mengatakan para doktor Muslim ketika itu telah menyalakan lampu dari pelita-pelita Yunani sehingga berjaya mengembangkan ilmu perubatan ke seluruh pelusuk dunia.
Akan tetapi, mereka yang disebut-sebut ini, bukan sekadar seorang Muslim berprofesi doktor sahaja, namun jauh dalam diri mereka terdapat satu nilai yang tidak semua doktor Muslim ada iaitu profesional. Bukankah kerjaya sebagai seorang doctor itu sudah cukup profesional?

d1

Ramai orang beranggapan profesional itu adalah dengan pekerjaan yang “wah..!” seperti doktor, arkitek, pensyarah. Walhal seorang tukang sapu pun sebenarnya seorang profesional sekiranya dia melakukan tugasannya dengan penuh tanggungjawab dan memberi komitmen yang tinggi bertepatan dengan satu anonymous iaitu “It’s not the job you do, but how you do the job”.


Oleh itu, untuk menelusuri jejak langkah Ibnu Sina, Ibnu Nafis, Ibnu Rusyd sama ada suka atau tidak, menjadi seorang doktor Muslim sahaja tidak cukup dan perlu lebih dari itu. Seorang doktor Muslim yang profesional bukan hanya seorang Muslim bekerja sebagai doktor yang cukup sekadar pergi bekerja, pulang rehat,tidur dan begitulah seterusnya.
Akan tetapi, seorang doktor Muslim profesional ialah individu bergelar Muslim yang bertanggungjawab dan memberi komitmen penuh dalam menjalani kehidupan seorang doktor. Jika semasa bekerja, datang awal ke tempat kerja, merawat pesakit dengan bersungguh-sungguh, sedia member nasihat kepada pesakit untuk kembali kepada ke pangkal jalan, jika di luar tempat kerja, meluangkan masa bermasyarakat kerana hakikat seorang doktor Muslim yang professional ini bukan sekadar merawat masyarakat di tempat kerja sahaja bahkan juga di luar tempat kerja.
Selaku mahasiswa perubatan yang selangkah sahaja lagi akan memasuki alam kerjaya, kita mestilah mempunyai keazaman yang tinggi untuk berada ditahap yang terbaik iaitu menjadi seorang doktor Muslim yang profesional dalam segenap aspek. Perlu diketahui juga, untuk berada di tahap yang terbaik memerlukan durasi masa yang panjang dan alam universiti adalah langkah mula ke arah cita-cita murni tersebut. Peribahasa Melayu ada menyebut “melentur buluh biarlah dari rebungnya.”
Perkara pertama yang sangat penting adalah berkaitan dengan sikap atau pun disebut juga attitude.
Sikap atau attitude adalah keperibadian yang dimiliki dalam menentukan reaksi-reaksi efektif semasa berhadapan dengan situasi tertentu selari dengan pendapat seorang ahli psikologi analitis terkenal, Carl Gustav Jung. Sikap adalah perkara yang penting, walaupun ianya adalah suatu perihal yang kecil tetapi dapat menciptakan perbezaan yang besar. Seorang doktor yang bersikap negatif terhadap pesakitnya menyebabkan nasihat doktor itu tidak diendahkan yang akhirnya memberi kesan buruk semula kepada pesakit tersebut.Sebaliknya, seorang doktor yang ramah dan sopan, membuatkan pesakit itu menghormatinya dan menerima nasihat yang diberikan dengan penuh kasih sayang.
Begitu jugalah sikap kita dengan Sang Penyembuh, dimana kita selaku doktor yang bergelar hamba perlu menjaga sikap kita dengan-Nya termasuklah sekecil-kecil perkara. Hal demikian kerana hakikat yang menyembuh sesuatu penyakit ialah Allah dan doktor hanyalah wasilah sahaja. Ianya selari dengan apa yang dikatakan oleh Nabi Ibrahim A.S dalam ayat Al-Quran:

وَإِذَامَرِضْتُفَهُوَيَشْفِينِ
“Dan apabila aku sakit. Dialah (Allah) yang menyembuhkanku.”
[As Syu’araa: 80]
Perkara seterusnya yang tidak kurang penting adalah ilmu. Sebagai mahasiswa perubatan, kita perlu mencari ilmu sebanyak mungkin sementara kita masih di alam universiti. Hal demikian kerana, setibanya kita di tanah air nanti, kita tidak mempunyai masa yang banyak untuk mencari ilmu dek kesibukan yang mengelilingi kita.
Memetik kata-kata Imam As-Syafie yang berbunyi, “Bila kamu tidak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan.” Jika kita tidak menguasai ilmu terutamanya ilmu perubatan, bagaimana kita hendak merawat pesakit dengan baik? Bagaimana hendak membuat diagnosis pada pesakit? Jadinya, di sini menuntut kita untuk mendalami sebaiknya ilmu perubatan itu untuk diaplikasikan semasa bekerja sebagai doktor suatu hari nanti.
Tugas seorang doktor Muslim yang profesional bukan hanya merawat penyakit jasad semata-mata bahkan juga penyakit hati ataupun dalam yang sebenarnya lebih penting dan menjadi penyumbang utama kepada penyakit jasad.
Bagi memikul tugas besar ini, tidak dapat tidak, kita perlu mendalami ilmu-ilmu lain juga terutamanya ilmu agama dan fikah perubatan. Ilmu–ilmu ini sangat berguna dan menjadi bekalan apatah lagi kita yang bakal pulang bekerja akan berhadapan dengan pesakit yang pelbagai.
Seterusnya, peranan ilmu ini juga adalah membawa diri kita untuk lebih dekat dan wujud perasaan kagum dengan kuasa Allah. Bukanlah dinamakan ilmu, sekiranya makin bertambah ia, semakin jauh kita dengan Pencipta alam ini, dan makin meningkat keegoan penuntutnya, serta makin angkuh bongkak sekeping hati yang sepatutnya tunduk merendah diri kepada Allah.
Demikian itu, secara tidak langsungnya dapat membawa pesakit kita juga untuk lebih dekat dengan Allah, walaupun sekadar memberitahu kepada mereka bahawa sakit yang ditimpa kepadanya datang daripada Allah. Ya, inilah yang dikatakan peranan besar seorang doktor Muslim profesional!
Sebagai penutup, kita hayati sebuah ungkapan seorang doktor pakar iaitu Dr Ali Sulaiman ar-Rumaikhan dengan kata-katanya, “ …. hendaklah kamu membawa pesakit kamu dekat dengan Allah dengan memberitahu kepada mereka bahawa sakit yang ditimpa kepadanya datang daripada Allah dan mereka mendapat pahala dengan ujian tersebut.”
Oleh itu, perkara utama mahasiswa ialah menjadi doktor Muslim profesional yang mempunyai sikap ataupun attitude yang positif dan mempunyai ilmu yang secukupnya. Amanah ini tidak dapat dinafikan sememangnya berat, jadi ia memerlukan persediaan dari pelbagai sudut bermula dari sekarang. Samalah juga ketika zaman kegemilangan Islam suatu ketika dahulu, sebelum lahirnya cendekiawan-cendekiawan Islam, sebelum banyak karya Yunani berjaya diterjemah, sebelum tersebarnya hasil inovasi perubatan sehingga dikagumi pihak barat, segala-galanya ini bermula dengan kesusahan. Jadinya, tidak mustahil untuk kita selaku mahasiswa perubatan untuk bangkit dari lena dalam usaha mengejar impian menjadi seorang doktor Muslim profesional yang berjaya.


MINDA PIMPINAN
Muhammad Amiruddin Bin Suhaini
Tahun 4
Kuliah Perubatan
Universiti Ain Shams
Pengerusi
PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2016/2017

No comments:

Post a Comment